Sunday, 14 June 2015

Mengubah Tabiat Dalam Ramadhan


Tabiat adalah hasil tindakan kita yang dilakukan secara berulang-ulang dan kebiasaannya dilakukan secara luar sedar. Bahkan minda sedar juga tidak dapat mengawal sepenuhnya apa yang kita selalu lakukan. Jadi, tabiat adalah satu cara yang dilakukan oleh otak bagi memudahkan kita melakukan sesuatu dalam hidup. Sebagai contoh membuka suis lampu (tanpa melihat) dan menyuap makanan (tanpa memandang).

Secara teknikalnya, otak mampu mengubah, mengatur dan menyesuaikan diri dalam berdepan perubahan yang berlaku. Ini diistilahkan sebagai neuroplasticity. Di dalam otak terutamanya pada kawasan basal ganglia, ia sering dikaitkan dengan neuroplasticityBasal ganglia sebenarnya bertindak sebagai pusat pembelajaran otak terutamanya  melibatkan aktiviti rutin, tabiat dan kawalan emosi. Maka, bersyukurlah kerana dengan adanya basal ganglia, kita boleh menjernihkan kembali tabiat lama kita. 

Hadiah Tuhan kepada Kita

Sesungguhnya kita beruntung kerana Allah telah mengurniakan satu bulan (sekitar 28/29 hari) bagi membolehkan otak kita mengubah tabiat buruk atau menambah tabiat baik dalam hidup kita.

Menurut kajian yang dijalankan dalam European Journal of Social Psychology, secara amnya manusia mengambil masa selama 18-200 hari untuk membentuk tabiat baru. Bertuahlah umat Muhammad kerana dengan hadirnya Ramadhan, kita sedang membentuk tabiat baru yang produktif. Bolehlah kita gambarkan bahawa Ramadhan sebenarnya adalah percikan api yang memulakan bara iman yang marak membakar sebagai permulaan kepada spiritual journey kita untuk baki 337 hari sebelum bertemu dengan Ramadhan seterusnya.

Namun satu perkara menarik yang kita perlu bincangkan. Apa beza antara hamba Allah dan “hamba Ramadhan”?

Kita perlu jelas bahawa diri kita adalah milik Allah, maka amal ibadah kita perlu dilakukan kerana Allah bukan kerana Ramadhan semata-mata. Maka, apabila Ramadhan meninggalkan kita, seharusnya amalan yang dilakukan semasa dalam bulan Ramadhan perlulah terus konsisten, bahkan lebih bermakna jika ia semakin bertambah baik daripada sebelumnya.

Eidulfitri Hari Graduasi

Ya, inilah hari graduasi kita. Hari yang mana kita telah berjaya membentuk tindakan luar kawalan yang positif. Hari yang mana segala tabiat baru yang baik mula terbentuk. Semoga tabiat baru kita itu adalah takwa sebagaimana firmannya:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”
(al-baqarah 2:183)

Maka dengan itu, bergembiralah kita dengan memuji ilahi sehingga memecah keheningan langit ketujuh.

No comments:

Post a Comment