Tuesday 7 July 2015

Politik-King



Kalau kau tak minat politik tak apa, sebab politik sentiasa minat dengan kau. Dalam hidup, semua benda adalah politik. Kau sebenarnya berpolitik dngan diri sendiri untuk tentukan kau itu macam mana. Kau yang mentadbir diri sendiri. Sebab itu Nabi beritahu yang setiap manusia adalah pemimpin. Macam mana kau nak memimpin kalau kau tak tahu makna politik?

Aku sebut politik, dan orang muda akan kata, "Politik itu Kotor". Tapi kau kena tahu, politik tu adalah usaha satu pihak secara bersama untuk capai satu tujuan. Kalau perkataan arabnya, politik diterjemahkan kepada siasah atau kata asalnya daripada perkataan “Sasa- yasusu- siyasatan wa riasah” yang membawa maksud tadbir, perintah, mengetuai ( Lisan al-Arab, Dar al-kutub al-ilmiah). Politik ini tujuan asalnya adalah untuk membentuk masyarakat yang terang dan aman daripada kacau-bilau. Mengawas manusia daripada melepasi sempadan yang ditetapkan.

Bila aku sebut politik, kau cuma boleh bayang Pro-Mahasiswa dan Aspirasi, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, Democrat dan Republican. Itu sahaja. Sedangkan skop politik itu lebih besar. Aristotle pun ada cakap yang politic science is master for all sciences. Sebab? Politiklah yang ada decision-making power untuk tentukan ilmu apa yang masyarakat perlu dan ilmu apa yang utama. Sebagai contoh, era kepimpinan Tun Mahathir, beliau meletakkan Sains dan Matematik di tempat yang lebih kedepan berbanding ilmu lain. Budak lepasan SRP/PMR/PT3 yang cemerlang akan dinasihatkan supaya meneruskan pelajaran dalam kelas-kelas Sains Tulen. Apakah keparat ini? Kau tahu, bright student tak sepatutnya dipaksa ke kelas Sains sebab dia mendapat keputusan yang cemerlang. Tapi atas desakan keluarga, nasihat cikgu dan pandangan masyarakat, maka anak pintar ini terpaksa juga berada di kelas itu. Jadi kau nak salahkan siapa? Sedangkan kita perlu manusia pintar untuk mendalami bidang agama agar tak jadi macam sekarang. Kita juga perlukan manusia pintar untuk mengembangkan bakat dalam art.

Tapi itulah politik. Policy maker have power to decide. Tapi dalam sistem demokrasi, kita adalah tuan kepada policy maker. Cuma kita kena cerdik sikit. Kena selalu update isu semasa, tahu apa yang terjadi dalam negara, review sikit bajet negara. Tak susah mana. Tapi ingat, ada beza sembang kopi dengan pemerhatian teliti. Kalau setakat sembang kopi, fitnah sana-sini, aku tak rasa itu yang kita persetujukan kat sini.

Aku impikan satu benda. Aku harap politik di Malaysia bukan lagi berdasarkan politik perkauman. Aku dah rasa muak dan bosan. Hak istimewa rakyat bumiputera dah termaktub dalam perlembagaan dan kau perlukan banyak "kunci" untuk membukanya. Jadi, kenapa rasa takut sangat? Atau kita memang dah dimomokkan yang DAP ni Cina dan mereka ni jahat sebab warisan PAP Lee Kuan Yeuw? Atau Pas ni parti extremist yang lebih kurang Taliban di Afghanistan? Haha. Kelakar. 

Dalam politik zaman moden, satu benda yang sangat dititikberatkan. Apa dia? Persepsi.

Siapa yang berjaya menang persepsi rakyat, mereka akan menang. Tengok macam mana Pak Lah menang bergaya PRU 2004 apabila rakyat diberi persepsi yang dia adalah orang yang "bersih", nak-nak ayat dia, "Bekerjalah bersama saya, bukan untuk saya" dengan ayat "Cemerlang, Gemilang, Temberang Terbilang". Pergh, mahu tak respek orang dengar. Kau tengok juga macam mana persepsi masyarakat berubah apabila Pak Lah dikatakan memberikan muka kepada menantunya KJ tall, dark and handsome dan orang jatuhkan imej Pak Lah dengan kata dia kaki tidur. Itu tak termasuk campurtangan Dr M. Akhirnya tahun 2008, terus letak jawatan (walaupun Najib lagi teruk daripada dia).

Aku sangat kesal bilamana rasa politik di IPTA dicabut dan disentap dengan penggantian Student Union kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Kerajaan juga memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi mengekang pelajar daripada terlibat aktif dalam politik untuk menjaga kantung emas mereka. Apabila mahasiswa dipisahkan dengan politik, secara tak langsung mereka berpisah dengan masyarakat. Tak dinafikan, operasi khidmat masyarakat masih ada. Tapi ia cuma ada pada tahap volunteerism. Bukan mengubah policy dan menggugat sang penguasa raksasa.

Tapi syukur. Kes UKM4 pada tahun 2011 memberikan sedikit ruang kepada mahasiswa untuk bergiat sama. Mereka berempat telah mencabar constitulity peraturan AUKU di Mahkamah Tinggi kerana melanggar kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Akhirnya, kerajaan terpaksa membuang Seksyen 15 dalam AUKU kerana melanggar prinsip perlembagaan.

Kalau kau masih rasa politik ini layak dibakulsampahkan, baik kau bersedia sebelum kau akan bau busuknya.

Monday 22 June 2015

Mujahid Agung Fadzil Noor



Ketika aku menulis ini, hatiku terhiris pilu seperti merindukan sosok-sosok tubuh yang aku tak pernah berjumpa, tapi kenal melalui nama. 

Khulafa' ar-Rasyidun ada Umar al-Khattab sebagai reformis dan rasionalis. Ijtihad Umar menjadi rujukan dalam membuat percaturan. Bani Ummayah ada Umar Abdul Aziz, yang mana serigala dan haiwan buruan dapat hidup aman. Empayar Agung Abbasiyyah munculnya Harun ar-Rasyid, sang pencinta ilmu pengetahuan. Daripada rahim kerajaan seljuk yang membentuk Dinasti Uthmaniah, lahirnya putera nakal yang akhirnya menakluk kota kebal Constantinople. Kerajaan kecil Mesir Fatimiyyah yang mencatatkan seorang raja yang tidak duduk di singgahsana tetapi berada di kem tentera untuk perjuangan jihad -Salahuddin al-Ayyubi namanya.

Apa yang ku pasti, dalam Parti Islam Se-Malaysia juga terukir satu sejarah yang mencatatkan seorang mujahid agung dilahirkan agung untuk memikul amanah mengepalai gerakan Islam di Malaysia - Ustaz Fadzil Noor.

Ku belek semula nama ini dalam sirah perjuangannya. Boleh aku katakan dia ini the true playmaker, the unsung hero and the genius politician. Pandangan dan ijtihadnya melepasi zaman. Peel dan fikiran orang Pas (melayu) berada dalam genggaman.

Kelemahannya usah dikira. Semua ahli Pas tahu, dia seorang pelambat bahkan lebih lambat daripada isterinya dalam bersiap sehinggakan Tok Guru Nik Aziz pernah meminta Subky Latif untuk menegurnya, tapi tidak ada siapa yang mampu mengubahnya. Sehinggakan kapal terbang terakhir untuk haji juga beliau telat, pekerja MAS melihatnya dan berkata, "Macam ni baru betul pemimpin. Dia buat tak tahu saja. Semua orang tunggu dia." Semua tahu tabiat lambatnya. Kelemahan ini bukanlah mengaibkan kerana rahsia ini diketahui umum. Malah sesiapa sahaja akan tertawa mendengarkan cerita kelewatannya. Walaupun kadang-kadang ada yang marah, tapi merka tidak mempedulikan kelemahan yang satu itu, bahkan rasa kasih kepadanya tidak berkurang.

Pakatan Rakyat adalah natijah daripada idea beliau yang menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) seterusnya pemuafakatan parti pembangkang Malaysia dalam menubuhkan Barisan Alternatif yang mana Ustaz Fadzil Noor adalah arkiteknya. Cuba kau bayangkan, macam mana dua kutub yang sama sifatnya dapat bercantum? Satu ultra-Islamis, satu lagi dimomokkan dengan parti kaum Cina yang mengamalkan Malaysian Malaysia. Ustaz Fadzil sangat pakar dalam menarik rambut dalam tepung. Beliau tahu sensitifnya masyarakat Melayu (terutamanya Pas) dalam mendepani DAP. Akhirnya pada pilihanraya 1999, Allah telah mengangkat seorang ulama ke dalam Dewan Parlimen untuk mewakili rakyat sebagai ketua pembangkang. Takdir Allah juga menentukan pada pilihanraya itu, ketua pembangkang sebelumnya, Lim Kit Siang kalah bertanding di tempatnya. Maka, Ustaz Fadzil Noor dengan rasa amanah menggalas tanggungjawab itu selama 2 tahun 7 bulan. Berkat hasil idea beliau juga, Konsep Negara Berkebajikan dalam Pas dibawakan ketengah medan masyarakat membuka mata ramai pihak. Tapi sayangnya, aku nampak pimpinan sekarang seolah-olah lupa dengannya dan terus bercakaran sesama sendiri. 

Kau tahu, berapa banyak agaknya aliran fikrah yang terdapat dalam Pas? Tapi boleh tak kau bayangkan macam mana Ustaz Fadzil Noor mencantumkan puzzle fikiran ini sehingga menjadi satu hasil yang menakjubkan, seperti batu tersusun kukuh.

Lewat tahun 80an, idea Kepimpinan Ulama dilontarkan oleh Dewan Pemuda Pas, yang mana secara tepatnya datang daripada Haji Mustafa Ali, Mutalib Embong dan Subky Abdul Latif. Beliau diam. Nak kata sokong pun tidak, nak kata tolak pun tidak. Tapi strategi beliau menjadi. Ketika mana idea itu dibawa ke dalam kelompok masyarakat Islam yang mana mendapat tempias daripada Revolusi Iran, apa agaknya rasa hati ahli Pas yang mendiami kelompok Profesional? Adakah mereka berkecil hati (seperti yang berlaku sekarang)? Tidak! Bahkan beliau berjaya mengintegrasikan ulama dan profesional sehinggakan memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional. Tidak tergambar sedikit pun keresahan antara ahli tentang hal ini, bahkan mereka bersatu setuju. Aku merasakan keajaiban seorang tokoh dalam mengikat hati masyarakat waima berbeza pendapat. Ingin kutambahkan rencahnya, bahawa pendaftaran keahlian yang datang daripada golongan doktor, peguam, jurutera, arkitek, akauntan dan profesyen lain berduyun-duyun mendaftarkan diri ke dalam Pas. Pas bukan lagi parti kampungan, bahkan menjadi sumber rujukan.

Kalaulah kamu bisa tahu, apa bukti Ustaz Fadzil Noor merasakan Pas bersedia memerintah Malaysia yang berbilang kaum ini? Beliau mengeluarkan arahan agar ibu pejabat pas yang banyak bergiat di Taman Melewar, Gombak bermajoriti Melayu dibawa ke tengah ibu kota Jalan Raja Laut Kuala Lumpur supaya Pas belajar untuk duduk bersama-sama masyarakat majmuk. 

Aku suka juga mendapatkan cerita bagaimana beliau menangani isu "Hak Istimewa Orang Melayu". Ketika ramai pihak terkejut dengan isu tiada hak istimewa dalam Islam, Ustaz Fadzil Noor dengan yakin dan kukuh bertanya, "Adakah tak ada hak istimewa dalam Islam? Adakah sudah dikaji betul-betul? Kita kaji betul-betul dulu."

Beliau membawakan sirah ketika zaman pemerintahan Saidina Umar, dakwah tersebar luas sehingga ke Parsi. Orang Arab yang ke Parsi pada ketika itu adalah golangan kaya dan berharta di mana mereka banyak membeli tanah-tanah orang Parsi yang miskin. Jadi, pada pandangan Saidina Umar, orang Parsi perlu dilindungi, jadi Saidina Umar membuat peraturan larangan membeli tanah orang Parsi. Tujuannya adalah untuk melindungi orang Parsi. Itulah hak istimewa orang Parsi!

Aku merasakan hujahnya logik, mantiknya sentap dan kata-katanya menyengat. 

Ketika Anwar Ibrahim difitnah dengan tuduhan liwat, beliau dengan segeranya menemui Anwar tanpa diketahui sesiapa pun hatta isterinya. Beliau mahukan penjelasan daripada mulut Anwar sendiri. Aku sekali lagi tak dapat membayangkan apa respons orang-orang Pas ketika itu. Kau lihat sahaja isu Unity Government, sampai sekarang pahat masih berbunyi. Tapi tidak untuk Ustaz Fadzil Noor. Ahli tunduk dan akur dengannya. Mereka mempunyai rasa hormat yang tinggi kepadanya.

Tarikh 23 Jun 2002, beliau pergi meninggalkan manusia yang masih memerlukan kalibernya dalam mentadbir hidup masyarakat yang masih carca-merba. Pemergiannya bukan sahaja ditangisi penduduk langit, bahkan 300,000 lautan manusia membanjiri segenap ruang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada beliau. Seperti padamnya cahaya pelita, bumi terasa gelap. Dan aku masih menunggu Fadzil Noor yang seterusnya untuk menerangi semula bumi yang kian kelam. Walaupun aku tak pernah berjumpa dengan beliau, tapi aku rasa rindu dengan kredibilitinya sebagai penyatu ummat. 

Sunday 14 June 2015

Mengubah Tabiat Dalam Ramadhan


Tabiat adalah hasil tindakan kita yang dilakukan secara berulang-ulang dan kebiasaannya dilakukan secara luar sedar. Bahkan minda sedar juga tidak dapat mengawal sepenuhnya apa yang kita selalu lakukan. Jadi, tabiat adalah satu cara yang dilakukan oleh otak bagi memudahkan kita melakukan sesuatu dalam hidup. Sebagai contoh membuka suis lampu (tanpa melihat) dan menyuap makanan (tanpa memandang).

Secara teknikalnya, otak mampu mengubah, mengatur dan menyesuaikan diri dalam berdepan perubahan yang berlaku. Ini diistilahkan sebagai neuroplasticity. Di dalam otak terutamanya pada kawasan basal ganglia, ia sering dikaitkan dengan neuroplasticityBasal ganglia sebenarnya bertindak sebagai pusat pembelajaran otak terutamanya  melibatkan aktiviti rutin, tabiat dan kawalan emosi. Maka, bersyukurlah kerana dengan adanya basal ganglia, kita boleh menjernihkan kembali tabiat lama kita. 

Hadiah Tuhan kepada Kita

Sesungguhnya kita beruntung kerana Allah telah mengurniakan satu bulan (sekitar 28/29 hari) bagi membolehkan otak kita mengubah tabiat buruk atau menambah tabiat baik dalam hidup kita.

Menurut kajian yang dijalankan dalam European Journal of Social Psychology, secara amnya manusia mengambil masa selama 18-200 hari untuk membentuk tabiat baru. Bertuahlah umat Muhammad kerana dengan hadirnya Ramadhan, kita sedang membentuk tabiat baru yang produktif. Bolehlah kita gambarkan bahawa Ramadhan sebenarnya adalah percikan api yang memulakan bara iman yang marak membakar sebagai permulaan kepada spiritual journey kita untuk baki 337 hari sebelum bertemu dengan Ramadhan seterusnya.

Namun satu perkara menarik yang kita perlu bincangkan. Apa beza antara hamba Allah dan “hamba Ramadhan”?

Kita perlu jelas bahawa diri kita adalah milik Allah, maka amal ibadah kita perlu dilakukan kerana Allah bukan kerana Ramadhan semata-mata. Maka, apabila Ramadhan meninggalkan kita, seharusnya amalan yang dilakukan semasa dalam bulan Ramadhan perlulah terus konsisten, bahkan lebih bermakna jika ia semakin bertambah baik daripada sebelumnya.

Eidulfitri Hari Graduasi

Ya, inilah hari graduasi kita. Hari yang mana kita telah berjaya membentuk tindakan luar kawalan yang positif. Hari yang mana segala tabiat baru yang baik mula terbentuk. Semoga tabiat baru kita itu adalah takwa sebagaimana firmannya:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”
(al-baqarah 2:183)

Maka dengan itu, bergembiralah kita dengan memuji ilahi sehingga memecah keheningan langit ketujuh.

Saturday 13 June 2015

Jatuh dan Bangun Semula




Berada dalam dunia maya membuatkan kau terapung-apung leka sehingga menghabiskan masa dan usia. Sebenarnya kau itu lemas! Otak kau dihujani beribu-beribu info tanpa tapisan kewarasan, yang ada hanyalah emosi yang membakar diri daripada keyboard warrior. Sesak dan cengkam membungkam jiwa sehingga kau rasa dada mendesak ketat. Cuba kau bandingkan dirimu dengan pak cik lewat usia senja yang kelihatan lebih tenang ke masjid tanpa mempedulikan hal dunia. Bandingkan dengan dirimu yang kusut, tak terurus dan seolah-olah mengetahui semua maklumat. Tapi kamu itu kosong. Umpama rumah tak berpenghuni. Fizikal wujud, rohnya kelaut.

Aku? Turut larut sama dalam apungan yang menyebabkan diriku lemas. Masakan tidak, hidup seperti lembu yang terikat tali. Yang membezakan cuma aku terikat dengan wayar charger gadget. Tapi masih terikat dan tertambat seperti lembu itu.

Ini adalah pecubaan kali keempat dalam membangunkan idea aku melalui wadah blog. Yang pertama, aku lupa passwordnya. Yang kedua, rasa namanya buruk benar. Isinya kontang, updatenya kurang. yang ketiga aku dah rasa jauh hati. Maka, aku berharap yang keempat ini menjadi. Berbunga seri kembang pagi. Orang Jepun kata, "Jatuh tujuh kali, bangunnya lapan."

"Atifect" adalah satu pinjaman kata perkataan inggeris "artifact" yang bermaksud tinggalan lama. Cuma aku bezakan sedikit ejaannya supaya perkataan "atif" terletak molek di situ. Aku banyak berdiskusi idea dengan mereka yang aku rasakan punyai kebebasan berfikir, tidak tersorok dibawah tempurung, tidak terkurung di dalam kotak. Lagi seronok ideaku dicabar, supaya ia menghasilkan idea yang lebih mapan. Orang berjiwa kecil mengata, orang berjiwa biasa berbicara peristiwa, orang berjiwa besar berbincang idea. Idea-idea ini aku tak mahu ia terlepas ke udara dan hilang dalam zarah-zarah halus, jadi aku tuliskan supaya ia membeku di dalam alam yang dapat menjadikan aku "kekal". Aku seperti masih hidup walaupun jasadku di dalam perut bumi.

Aku merasakan tulisan itu adalah lukisan kata-kata. Dan kadang-kala, cuma kertas yang mendengarkan aku. Ianya indah dan puitis. Setiap aksara kususun menjadikan satu perkataan. Perkataan itu kucantumkan agar menjadi satu prosa ayat dan akhirnya ayat itu kuhimpunkan membentuk pemikiran. Pemikiran inilah yang menggerakkan tubuh dan menggembleng kudrat untuk beramal. Pohon tanpa buah apalah guna, sama seperti ilmu-idea tanpa amal. Sia-sia.

Semoga kali ini aku berjaya. Doa-doakan. Aku tak perlu tembakan doa, aku hanya perlu doa yang ikhlas daripada kamu.