Ketika aku menulis ini, hatiku terhiris pilu seperti
merindukan sosok-sosok tubuh yang aku tak pernah berjumpa, tapi kenal melalui
nama.
Khulafa' ar-Rasyidun ada Umar al-Khattab sebagai reformis
dan rasionalis. Ijtihad Umar menjadi rujukan dalam membuat
percaturan. Bani Ummayah ada Umar Abdul Aziz, yang mana serigala dan
haiwan buruan dapat hidup aman. Empayar Agung Abbasiyyah munculnya Harun
ar-Rasyid, sang pencinta ilmu pengetahuan. Daripada rahim kerajaan seljuk
yang membentuk Dinasti Uthmaniah, lahirnya putera nakal yang akhirnya menakluk
kota kebal Constantinople. Kerajaan kecil Mesir Fatimiyyah yang
mencatatkan seorang raja yang tidak duduk di singgahsana tetapi berada di kem
tentera untuk perjuangan jihad -Salahuddin al-Ayyubi namanya.
Apa yang ku pasti, dalam Parti Islam Se-Malaysia juga
terukir satu sejarah yang mencatatkan seorang mujahid agung dilahirkan agung
untuk memikul amanah mengepalai gerakan Islam di Malaysia - Ustaz Fadzil Noor.
Ku belek semula nama ini dalam sirah perjuangannya. Boleh
aku katakan dia ini the true playmaker, the unsung hero and the genius
politician. Pandangan dan ijtihadnya melepasi zaman. Peel dan fikiran orang Pas
(melayu) berada dalam genggaman.
Kelemahannya usah dikira. Semua ahli Pas tahu, dia seorang
pelambat bahkan lebih lambat daripada isterinya dalam bersiap sehinggakan Tok
Guru Nik Aziz pernah meminta Subky Latif untuk menegurnya, tapi tidak ada siapa
yang mampu mengubahnya. Sehinggakan kapal terbang terakhir untuk haji juga
beliau telat, pekerja MAS melihatnya dan berkata, "Macam ni
baru betul pemimpin. Dia buat tak tahu saja. Semua orang tunggu dia."
Semua tahu tabiat lambatnya. Kelemahan ini bukanlah mengaibkan kerana rahsia
ini diketahui umum. Malah sesiapa sahaja akan tertawa mendengarkan cerita
kelewatannya. Walaupun kadang-kadang ada yang marah, tapi merka tidak
mempedulikan kelemahan yang satu itu, bahkan rasa kasih kepadanya tidak
berkurang.
Pakatan Rakyat adalah natijah daripada idea beliau yang
menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) seterusnya
pemuafakatan parti pembangkang Malaysia dalam menubuhkan Barisan Alternatif
yang mana Ustaz Fadzil Noor adalah arkiteknya. Cuba kau bayangkan, macam mana
dua kutub yang sama sifatnya dapat bercantum? Satu ultra-Islamis, satu lagi
dimomokkan dengan parti kaum Cina yang mengamalkan Malaysian Malaysia. Ustaz
Fadzil sangat pakar dalam menarik rambut dalam tepung. Beliau tahu sensitifnya
masyarakat Melayu (terutamanya Pas) dalam mendepani DAP. Akhirnya pada
pilihanraya 1999, Allah telah mengangkat seorang ulama ke dalam Dewan Parlimen
untuk mewakili rakyat sebagai ketua pembangkang. Takdir Allah juga menentukan
pada pilihanraya itu, ketua pembangkang sebelumnya, Lim Kit Siang kalah
bertanding di tempatnya. Maka, Ustaz Fadzil Noor dengan rasa amanah menggalas
tanggungjawab itu selama 2 tahun 7 bulan. Berkat hasil idea beliau juga,
Konsep Negara Berkebajikan dalam Pas dibawakan ketengah medan masyarakat
membuka mata ramai pihak. Tapi sayangnya, aku nampak pimpinan sekarang
seolah-olah lupa dengannya dan terus bercakaran sesama sendiri.
Kau tahu, berapa banyak agaknya aliran fikrah yang terdapat
dalam Pas? Tapi boleh tak kau bayangkan macam mana Ustaz Fadzil Noor
mencantumkan puzzle fikiran ini sehingga menjadi satu hasil yang menakjubkan,
seperti batu tersusun kukuh.
Lewat tahun 80an, idea Kepimpinan Ulama dilontarkan oleh
Dewan Pemuda Pas, yang mana secara tepatnya datang daripada Haji Mustafa Ali,
Mutalib Embong dan Subky Abdul Latif. Beliau diam. Nak kata sokong pun tidak,
nak kata tolak pun tidak. Tapi strategi beliau menjadi. Ketika mana idea itu
dibawa ke dalam kelompok masyarakat Islam yang mana mendapat tempias daripada
Revolusi Iran, apa agaknya rasa hati ahli Pas yang mendiami kelompok
Profesional? Adakah mereka berkecil hati (seperti yang berlaku sekarang)?
Tidak! Bahkan beliau berjaya mengintegrasikan ulama dan profesional sehinggakan
memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional. Tidak tergambar sedikit
pun keresahan antara ahli tentang hal ini, bahkan mereka bersatu setuju. Aku
merasakan keajaiban seorang tokoh dalam mengikat hati masyarakat waima berbeza
pendapat. Ingin kutambahkan rencahnya, bahawa pendaftaran keahlian yang datang
daripada golongan doktor, peguam, jurutera, arkitek, akauntan dan profesyen
lain berduyun-duyun mendaftarkan diri ke dalam Pas. Pas bukan lagi parti
kampungan, bahkan menjadi sumber rujukan.
Kalaulah kamu bisa tahu, apa bukti Ustaz Fadzil Noor
merasakan Pas bersedia memerintah Malaysia yang berbilang kaum ini? Beliau
mengeluarkan arahan agar ibu pejabat pas yang banyak bergiat di Taman Melewar,
Gombak bermajoriti Melayu dibawa ke tengah ibu kota Jalan Raja Laut Kuala Lumpur
supaya Pas belajar untuk duduk bersama-sama masyarakat majmuk.
Aku suka juga mendapatkan cerita bagaimana beliau menangani
isu "Hak Istimewa Orang Melayu". Ketika ramai pihak terkejut dengan
isu tiada hak istimewa dalam Islam, Ustaz Fadzil Noor dengan yakin dan kukuh
bertanya, "Adakah tak ada hak istimewa dalam Islam? Adakah sudah dikaji
betul-betul? Kita kaji betul-betul dulu."
Beliau membawakan sirah ketika zaman pemerintahan Saidina
Umar, dakwah tersebar luas sehingga ke Parsi. Orang Arab yang ke Parsi pada
ketika itu adalah golangan kaya dan berharta di mana mereka banyak membeli
tanah-tanah orang Parsi yang miskin. Jadi, pada pandangan Saidina Umar, orang
Parsi perlu dilindungi, jadi Saidina Umar membuat peraturan larangan membeli
tanah orang Parsi. Tujuannya adalah untuk melindungi orang Parsi. Itulah hak
istimewa orang Parsi!
Aku merasakan hujahnya logik, mantiknya sentap dan
kata-katanya menyengat.
Ketika Anwar Ibrahim difitnah dengan tuduhan liwat, beliau
dengan segeranya menemui Anwar tanpa diketahui sesiapa pun hatta isterinya.
Beliau mahukan penjelasan daripada mulut Anwar sendiri. Aku sekali lagi tak
dapat membayangkan apa respons orang-orang Pas ketika itu. Kau lihat sahaja isu
Unity Government, sampai sekarang pahat masih berbunyi. Tapi tidak untuk Ustaz
Fadzil Noor. Ahli tunduk dan akur dengannya. Mereka mempunyai rasa hormat yang
tinggi kepadanya.
Tarikh 23 Jun 2002, beliau pergi meninggalkan manusia yang
masih memerlukan kalibernya dalam mentadbir hidup masyarakat yang masih carca-merba.
Pemergiannya bukan sahaja ditangisi penduduk langit, bahkan 300,000 lautan
manusia membanjiri segenap ruang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada
beliau. Seperti padamnya cahaya pelita, bumi terasa gelap. Dan aku masih
menunggu Fadzil Noor yang seterusnya untuk menerangi semula bumi yang kian
kelam. Walaupun aku tak pernah berjumpa dengan beliau, tapi aku rasa rindu
dengan kredibilitinya sebagai penyatu ummat.